20 Mac 2024 - Nilai T.E.R.A.S UKM telah menetapkan dua (2) agenda utama Universiti iaitu Kebolehpasaran Graduan (GE) dan Penjanaan Pendapatan (IG). Bagi menyokong agenda penjanaan pendapatan, Jabatan Bendahari telah menjalankan projek pengkomersialan eP@UKM dengan kerjasama syarikat swasta iaitu Ikhlas Kekal Sdn Bhd. Dalam menyokong hasrat ini, jalinan kerjasama strategik yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu oleh Bahagian Perolehan Jabatan Bendahari UKM, Jabatan Kewangan HCTM, Pusat Teknologi Maklumat (PTM), UKM Pakarunding (UKMP), Pusat Inovasi UKM (Inovasi), dan Pejabat Penasihat Undang-Undang (PPUU) memperlihatkan komitmen dan kesungguhan PTj dalam menerajui agenda penjanaan pendapatan. 

Projek eP@UKM merupakan sebuah usahasama yang membangun dan mengkomersialkan platform pengurusan perolehan secara dalam talian. UKM merupakan antara universiti terawal di Malaysia yang menggunakan platform ini dan mula menjadi ikutan organisasi lain. Sehingga kini, UKM telah mengadakan sesi perkongsian bersama empat belas (14) buah organisasi melibatkan Universiti Awam dan pelbagai Agensi Kerajaan. Melalui sesi perkongsian tersebut, sebanyak enam (6) organisasi telah pun bersetuju untuk menggunakan eP@UKM sebagai platform bagi menguruskan aktiviti perolehan. Selain itu, sebanyak enam (6) lagi organisasi yang berpotensi masih berada di fasa perundingan dan dijangka akan menandatangani perjanjian dalam tempoh terdekat. 

Dua (2) bentuk penjanaan yang dinikmati oleh UKM adalah Yuran Perundingan dan Hasil Komisen. Sehingga 31 Disember 2023, baki yuran perundingan kumulatif yang dijangka akan diterima oleh UKM adalah sebanyak RM33,542.45. Pada tahun 2024, UKM menetapkan sasaran hasil komisen keuntungan sebanyak RM220,629 dan optimis untuk mendapatkan hasil yang meningkat pada tahun-tahun berikutnya seiring dengan pertambahan organisasi yang menggunapakai platform eP@UKM. 

Dalam menerajui langkah kemajuan ini, UKM mempamerkan bukan hanya kepakaran dalam teknologi, tetapi juga kemahiran dalam membentuk landskap perolehan dalam talian secara menyeluruh. Kejayaan projek eP@UKM menjadi suatu penanda aras keberhasilan universiti yang menggabungkan inovasi, kerjasama sektor awam-swasta, dan fokus padu untuk meningkatkan penjanaan pendapatan dan mengejar kecemerlangan universiti.